Tuesday, April 15, 2008

Pengenalan

PENGENALAN

1.1 PENDAHULUAN
Penggunaan berkait rapat dengan persoalan perancangan perbelanjaan isi rumah dalam memenuhi keperluan hidup sama ada perbelanjaan untuk barangan atau perkhidmatan yang terdapat dalam pasaran. Oleh itu keperluan-keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, pengangkutan, pendidikan dan sebagainya menjadi matlamat penggunaan setiap isi rumah. (Wan Sabri : 1996).

Peruntukan perbelanjaan dan corak perbelanjaan isi rumah banyak dipengaruhi oleh jenis barangan dan kemampuan kuasa beli yang ada pada mereka. Pengguna akan membuat keputusan untuk membelanjakan pendapatan mereka sama ada untuk barang mewah, barang biasa atau barang bawah. Buktinya, peningkatan ekonomi akan turut meningkatkan kemampuan dan keupayaan pengguna untuk membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan. (Noraini : 1996).

Sebahagian besar pendapatan akan diperuntukkan untuk mendapatkan barang keperluan asas yang mana penggunaannya berada pada hieraki permintaan yang tertinggi kerana prinsip memenuhi keperluan lebih utama daripada memuaskan kehendak yang merupakan objektif aktiviti ekonomi. Maka kesemua bentuk perbelanjaan penggunaan dalam ekonomi perlu dirancang sebaik-baiknya. Kegagalan merancang perbelanjaan dengan bijak bakal mengundang berbagai masalah sosio ekonomi. Oleh itu, semua isi rumah harus membuat pertimbangan dalam perbelanjaannya untuk faedah jangka panjang dan faedah jangka pendek. (Wan Sabri : 1996).

Kita juga harus menyedari bahawa gelagat individu sebagi pengguna memberi kesan bukan hanya kepada diri dan ahli keluarga kita sahaja, bahkan juga kepada kestabilan ekonomi negara. Contohnya perbelanjaan yang tidak terkawal terutama melalui pinjaman dan penggunaan kad kredit akan menambah beban hutang dan meningkatkan kadar inflasi keluarga dan negara. (Noraini : 1996).

Justeru itu, setiap pengguna khususnya pengguna Muslim mestilah mematuhi garis panduan atau etika penggunaan yang telah ditetapkan oleh Islam terutamanya dalam penggunaan barangan keperluan. Antaranya ialah mengambil kira aspek halal, keutamaan sesuatu barang, kebersihan, kesucian, kesederhanaan, tidak boros atau membazir di samping mengamalkan sifat-sifat dan akhlak yang terpuji. Maka pengguna muslim perlulah memahami konsep penggunaan Islam yang sebenarnya. Seterusnya mampu menilai serta menepati dasar-dasar penggunaan Islam.

Penyelidikan ini berkaitan konsep penggunaan Islam yang diamalkan di kalangan masyarakat Islam Kangar Perlis. Ianya akan menyentuh konsep penggunaan Islam, konsep barangan, gelagat penggunaan terhadap barangan dan perkhidmatan serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan gelagat penggunaan barangan dan perkhidmatan di kalangan pengguna Muslim.
1.2 Latar Belakang Kajian
Penyelidikan kepenggunaan ini penting, melihat kepada pengaruh kebendaan yang semakin hebat melanda masyarakat, khususnya dalam aspek penggunaan. Walaupun matlamat individu ekonomi dalam aktiviti penggunaan adalah untuk mencapai kesejahteraan kehidupan. Namun kesejahteraan dalam konteks ekonomi barat membuat pengukuran apabila seseorang individu ekonomi dapat memuaskan pelbagai kehendak terhadap barangan dan perkhidmatan semata-mata. Pandangan sedemikian berbeza dengan kehendak Islam.

Nilai etika ekonomi Islam cuba mengurangkan keperluan manusia terhadap kebendaan yang berlebihan pada masa kini, supaya tenaga mereka dapat diarahkan dalam soal kerohanian. Itulah sebabnya Allah s.w.t. yang menjadikan manusia dan juga panduan untuk dikuti. Allah s.w.t menganugerahkan Islam sebagai sumber kepada semua pertunjuk. Pertunjuk Allah s.w.t. adalah komprehensif, merangkumi segala aspek pengendalian kehidupan manusia tanpa mengecualikan sesuatu pun. Ia bermatlamat untuk manusia mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

1.3 Kenyataan Masalah
Aktiviti penggunaan adalah penting dalam rangka membina individu, keluarga, masyarakat dan negara. Penggunaan juga merupakan peringkat terakhir setelah selesai aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Masyarakat yang telah sebati dengan suasana ekonomi moden tidak terdaya untuk menghadapi aliran penawaran barangan dan perkhidmatan yang semakin berleluasa di pasaran.

Suasana ini mengundang kecenderungan perbelanjaan masyarakat yang sukar dikawal. Sehingga berlaku masalah pembaziran, berlumba-lumba mengejar status, budaya berhutang yang tinggi, inflasi seterusnya mencetuskan pelbagai masalah-masalah sosial dalam masyarakat. Kesan-kesan negatif aktiviti penggunaan dalam ekonomi moden ini, tidak dapat diubati, selagi masyarakat Islam tidak kembali kepada kefahaman sebenar mengenai penggunaan Islam. Sebaik sahaja masyarakat faham, ini dapat membantu masyarakat dan kerajaan mengatasi inflasi serta ketidakseimbangan perbelaanjaan masyarakat. Ini kerana teori penggunaan dalam ekonomi Islam dapat memberikan satu cara perbelanjaan yang baik dan praktikal tanpa menyebabkan berlakunya inflasi dan pembaziran.

Sekali gus kajian ini dapat memberikan satu panduan kepada pengguna muslim untuk beribadat kepada Allah s.w.t melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan dalam kehidupan seharian.

1.4 Objektif Kajian
Berasaskan masalah-masalah yang wujud dalam ekonomi konvensional, kajian ini secara umumnya adalah untuk memberi sumbangan kepada usaha-usaha pengIslaman ilmu di negara ini, khususnya dalam pendisiplinan ekonomi. Objektif ditumpukan dengan mengamati semula konsep-konsep dan asas mikroekonomi yang dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi konvensional dari perspektif Islam terutama dalam bidang kepenggunaan.

Secara khususnya pula, objektif kajian adalah seperti berikut :

1. Memperteguhkan keyakinan bahawa sistem ekonomi Islam adalah sistem ekonomi sejagat yang mementingkan keseimbangan di antara dunia dan akhirat.
2. Memberikan pentakrifan kepada barangan keperluan bagi pengguna Muslim dalam pasaran.
3. Mengkaji dan memahami gelagat penggunaan barangan keperluan di kalangan pengguna Muslim di Kangar Perlis.
4. Menentukan gelagat pengguna muslim sebenar dalam melayani kehendak dan kepuasan yang pelbagai menerusi garis panduan pengguna Muslim.
5. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan gelagat penggunaan barangan keperluan di kalangan pengguna Muslim.

1.5 Kerangka Teori Kajian
Kajian dimulakan dengan memberikan pengertian konsep penggunaan dari perspektif Islam yang sebenarnya. Seterusnya kajian menyentuh mengenai kaedah penggunaan barangan seperti yang telah digariskan oleh Islam untuk dijadikan panduan oleh pengguna Muslim.

Kajian selanjutnya ditumpukan kepada corak peruntukan perbelanjaan dan barang-barang yang menjadi pilihan pengguna serta faktor-faktor yang mempengaruhi gelagat penggunaan barangan di kalangan pengguna Muslim. Antaranya ialah faktor latar belakang, tarikan pembelian, saluran maklumat barangan, lokasi pembelian barangan dan kriteria-kriteria yang menjadi keutamaan pengguna dalam pemilihan dan penggunaan barangan. Selain itu, kajian juga akan mencuba mengenalpasti hubungan yang wujud antara penggunaan dengan tempat tinggal dan tingkat pendapatan isi rumah yang menggunakan barangan tersebut.

1.6 Hipotesis
Berasaskan kepada teori gelagat penggunaan barangan keperluan di kalangan pengguna-pengguna muslim, lima hipotesis awal dapat dibuat :
Peruntukan perbelanjaan bulanan untuk barangan keperluan bagi pengguna muslim di Kangar adalah rendah.
Pengguna muslim di Kangar mempunyai barangan pilihan utama.
Pengguna muslim di Kangar adalah paling kerap menerima maklumat mengenai barangan keperluan menerusi media elektronik.
Pengguna muslim di Kangar paling kerap membeli barangan keperluan di pasaraya.
Pengguna muslim di Kangar meletakkan halal sebagai criteria yang paling penting apabila menggunakan barangan keperluan.

1.7 Kepentingan Kajian
Kajian ini mempunyai beberapa kepentingandari sudut keilmuan. Antaranya ialah :

Mengemukakan dan menjelaskan teori atau konsep barangan untuk pengguna-pengguna di Malaysia.
Meneliti gelagat penggunaan barangan di kalangan pengguna Muslim.
Mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi gelagat penggunaan barangan di kalangan pengguna Muslim.

1.8 Skop Kajian
Kajian dibuat untuk mengemukakan suatu konsep bagi barangan keperluan dalam skop pengguna Muslim di Malaysia supaya dapat digunapakai oleh semua pengguna Muslim tanpa mengira keadaan dan latar belakang mereka.

Penelitian khusus dijalankan ke atas gelagat penggunaan barangan di kalangan pengguna-pengguna Muslim di Kangar Perlis. Gelagat penggunaan dikaji secara persampelan di mana satu set barangan yang dipilih khusus sahaja yang dinilai corak penggunaannya.

Seterusnya analisis dibuat ke atas faktor – faktor yang mempengaruhi pembentukan gelagat penggunaan barangan di kalangan pengguna Muslim di Kangar Perlis.

Kangar Perlis telah dipilih dalam kajian ini mewakili negeri yang paling kecil di Malaysia, di samping penduduknya majoriti Muslim, berlatarbelakangkan ciri-ciri negeri yang yunik dari segi kegiatan sosio-ekonomi yang pelbagai merangkumi aspek pertanian, perikanan, keusahawanan dan perkhidmatan. Negeri Perlis juga dilengkapi dengan kemudahan asas yang lengkap seperti sekolah, pusat-pusat pengajian tinggi, hospital, masjid, mahkamah, sistem lebuhraya yang baik dan sebagainya. Tambahan pula penyelidik telah berkhidmat di Perlis mencecah sepuluh tahun dengan memahami secara mendalam dengan keadaan hidup masyarakat Perlis.

Beberapa ciri gelagat penggunaan barangan keperluan pengguna muslim telah dipilih untuk dikaji antaranya :
1- Peruntukan perbelanjaan untuk barangan perlu.
Kajian dibuat untuk melihat peruntukan perbelanjaan yang dibuat oleh pengguna Muslim bagi mendapatkan barangan keperluan daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan mereka.

2- Barangan keperluan yang menjadi pilihan utama.
Kajian dibuat untuk melihat apakah barangan keperluan yang menjadi pilihan utama pengguna Muslim.

3- Tarikan pembelian barangan keperluan
Kajian dibuat untuk meneliti factor-faktor yang mendorong pengguna muslim menggunakan sesuatu barang keperluan, termasuklah faktor dalaman dan factor luaran.

4- Saluran maklumat barang keperluan
Kajian dibuat untuk melihat daripada sumber manakah pengguna muslim mendapatkan maklumat berkaitan barang keperluan yang mereka gunakan.

5- Lokasi pembelian barangan keperluan
Kajian dibuat untuk meneliti lokasi manakah yang menjadi pilihan pengguna muslim bagi mendapatkan barangan keperluan yang digunakan.

6- Kriteria pemilihan barangan keperluan
Kajian dibuat untuk merumuskan criteria-kriteria yang digunakan oleh pengguna muslim dalam membuat pemilihan barangan keperluan yang digunakan.

Kepenggunaan Islam

Abstrak

Penyelidikan ini berkaitan konsep penggunaan Islam yang diamalkan di kalangan masyarakat Islam Kangar Perlis. Ianya akan menyentuh konsep penggunaan Islam, konsep barangan, gelagat penggunaan terhadap barangan dan perkhidmatan serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan gelagat penggunaan barangan dan perkhidmatan di kalangan pengguna Muslim. Apa yang diharapkan kajian ini dapat memberikan satu panduan kepada pengguna muslim untuk beribadat kepada Allah s.w.t melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Objektif kajian ini ditumpukan dengan mengamati semula konsep-konsep dan asas mikroekonomi yang dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi konvensional dari perspektif Islam terutama dalam bidang kepenggunaan. Kajian dimulakan dengan memberikan pengertian konsep penggunaan dari perspektif Islam yang sebenarnya. Seterusnya kajian menyentuh mengenai kaedah penggunaan barangan seperti yang telah digariskan oleh Islam untuk dijadikan panduan oleh pengguna Muslim. Hasil kajian mendapati Daerah Kangar mempunyai infrustruktur yang baik terutamanya dari segi kemudahan awam. Kuasa beli yang tinggi di Kangar membolehkan responden memperuntukkan lebih banyak wang untuk mendapatkan barangan keperluan penggunaan. Secara keseluruhannya responden di Kangar telah membuat peruntukan perbelanjaan untuk barangan keperluan penggunaan dengan wajar kerana responden yang mempunyai pendapatan di bawah had kifayah membelanjakan hampir keseluruhan pendapatan bulanan mereka untuk penggunaan barangan keperluan. Manakala responden yang mampu melepasi had kifayah berpeluang membelanjakan wang untuk keperluan barangan-barangan lain bahkan yang dibelanjakan tanpa menyedari kepentingan menabung. Jelasnya responden di kangar melakukan permintaan barangan hajiyyat dan tahsiniyyat adalah tinggi kerana dipengaruhi oleh faktor pendapatan yang tinggi.