Tuesday, April 15, 2008

Kepenggunaan Islam

Abstrak

Penyelidikan ini berkaitan konsep penggunaan Islam yang diamalkan di kalangan masyarakat Islam Kangar Perlis. Ianya akan menyentuh konsep penggunaan Islam, konsep barangan, gelagat penggunaan terhadap barangan dan perkhidmatan serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan gelagat penggunaan barangan dan perkhidmatan di kalangan pengguna Muslim. Apa yang diharapkan kajian ini dapat memberikan satu panduan kepada pengguna muslim untuk beribadat kepada Allah s.w.t melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Objektif kajian ini ditumpukan dengan mengamati semula konsep-konsep dan asas mikroekonomi yang dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi konvensional dari perspektif Islam terutama dalam bidang kepenggunaan. Kajian dimulakan dengan memberikan pengertian konsep penggunaan dari perspektif Islam yang sebenarnya. Seterusnya kajian menyentuh mengenai kaedah penggunaan barangan seperti yang telah digariskan oleh Islam untuk dijadikan panduan oleh pengguna Muslim. Hasil kajian mendapati Daerah Kangar mempunyai infrustruktur yang baik terutamanya dari segi kemudahan awam. Kuasa beli yang tinggi di Kangar membolehkan responden memperuntukkan lebih banyak wang untuk mendapatkan barangan keperluan penggunaan. Secara keseluruhannya responden di Kangar telah membuat peruntukan perbelanjaan untuk barangan keperluan penggunaan dengan wajar kerana responden yang mempunyai pendapatan di bawah had kifayah membelanjakan hampir keseluruhan pendapatan bulanan mereka untuk penggunaan barangan keperluan. Manakala responden yang mampu melepasi had kifayah berpeluang membelanjakan wang untuk keperluan barangan-barangan lain bahkan yang dibelanjakan tanpa menyedari kepentingan menabung. Jelasnya responden di kangar melakukan permintaan barangan hajiyyat dan tahsiniyyat adalah tinggi kerana dipengaruhi oleh faktor pendapatan yang tinggi.

No comments: